Walkman adalah barisan jenama bagi pemain stereo peribadi keluaran Sony. Pada mulanya, istilah Walkman hanya merujuk kepada produk stereo peribadi keluaran Sony, tetapi kini istilah tersebut menjadi istilah umum yang turut merujuk kepada produk sama daripada pengeluar lain. Walkman telah mengubah cara hidup pengguna dengan membolehkan pengguna mendengar lagu-lagu kegemaran mereka secara bersendirian tanpa mengganggu orang lain.

Pada Mac 2007, Sony mengembangkan jenama Walkman melalui model Walkman video pertama, NW-800. Selain jenama Walkman, Sony pernah menggunakan pelbagai jenama bagi jenis pemain stereo peribadi yang tertentu, antaranya termasuklah Discman bagi produk pemain cakera padat peribadi, namun Sony mula menghimpunkan kesemua produk pemain stereo peribadinya di bawah satu jenama iaitu Walkman pada lewat 1990-an. Produk Walkman tidak hanya terhad kepada alat pemain stereo peribadi semata-mata; ia turut dikembangkan dalam bentuk pemacu kilat USB dan juga telefon bimbit keluaran Sony Ericsson iaitu model-model siri W.

Sejarah

Model pertama Walkman(TPS-L2) adalah model berasaskan pemain kaset, dilancarkan pada 1 Julai 1979. Model tersebut adalah ciptaan jurutera bahagian audio Sony iaitu Nobutoshi Kihara untuk pengerusi Sony pada ketika itu, Akio Morita, yang mahu mendengar lagu-lagu opera semasa berulang-alik menaiki kapal terbang untuk lawatan kerja yang kerap. Beliau pada mulanya amat membenci nama "Walkman" sehinggakan beliau mahu nama model tersebut diubah, tetapi sudah terlambat kerana nama tersebut sudah pun digunakan dalam kempen promosi serta dalam pengeluaran. Akhirnya, Morita tunduk kepada keputusan syarikat untuk terus menggunakan nama Walkman. Model TPS-L2 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, dan sejak daripada itulah jenama Walkman mula terkenal.

Nota :
Pada awalnya pemain kaset Walkman memerlukan 4 biji bateri saiz AA untuk beroperasi, tetapi model-model kemudiannya hanya memerlukan 2 biji bateri saiz AA sahaja.
Sumber artikel : http://ms.wikipedia.org/wiki/Walkman



0 komen:

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama